Malaysia Bersatu Demi Palestin
Suara Solidariti di Dataran Merdeka
Malam tadi, Dataran Merdeka menyaksikan detik bersejarah apabila puluhan ribu rakyat Malaysia berkumpul bagi menyatakan solidariti terhadap saudara kita di Gaza dan Palestin. Dengan penuh rasa syukur, seluruh dunia menjadi saksi kebangkitan rakyat Malaysia yang bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan kanak-kanak dan wanita tidak berdosa, serta menuntut keadilan yang telah dinafikan selama puluhan tahun.
Realiti yang berlaku di Gaza hari ini bukan sekadar peperangan, tetapi penjajahan dalam bentuk yang paling kejam dan tidak berperikemanusiaan. Tanah dirampas, rumah dimusnahkan, sekolah dirobohkan, malah masjid dan gereja turut menjadi mangsa kezaliman Zionis. Ini bukan tindakan manusia, tetapi perbuatan yang buas tanpa belas kasihan. Dunia yang sering melaungkan hak asasi dan demokrasi memilih untuk menutup mata, tetapi Malaysia tidak pernah berpaling.
Dalam setiap pertemuan antarabangsa—di Tokyo, Beijing, New Delhi, mahupun Eropah—suara Palestin tidak pernah dilupakan. Malam tadi juga, Kerajaan MADANI mengumumkan tambahan dana RM100 juta untuk membantu rakyat Palestin, termasuk dalam bentuk rawatan perubatan dan peluang pendidikan.
Walaupun perjuangan ini kadangkala terasa melelahkan dan seakan tiada penghujung, janji Allah tetap nyata: pertolongan-Nya sentiasa dekat. Maka, rakyat Malaysia mesti terus berpegang teguh, tanpa gentar dan ragu, kerana kebenaran dan keadilan pasti akan menang.
Bulan ini kita menyambut kemerdekaan negara. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, dan Vietnam yang bangkit menentang penjajah, semangat itu kini kita teruskan bersama Palestin. Dalam semangat itu juga, doa dan sokongan kita iringkan kepada para aktivis yang akan berlayar ke Gaza pada 31 Ogos ini.
Perlu diingat, gema suara yang bergema di Dataran Merdeka bukanlah suara mana-mana parti atau kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Kepada saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah bahawa Malaysia tidak akan meninggalkan anda. Kita belajar daripada semangat anda, kita hormati perjuangan anda, dan dengan izin Allah, kita akan terus berdiri bersama anda.
Free Palestine! 🇲🇾✊🇵🇸
.png)
Comments
Post a Comment