Mesyuarat Ke-82 Majlis Tanah Negara

 Memastikan Pembangunan Seimbang dan Kelestarian Alam


 

Pagi ini, saya mempengerusikan Mesyuarat Ke-82 Majlis Tanah Negara (MTN), satu platform penting yang mengumpulkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk meneliti perancangan dan pengurusan tanah negara. Mesyuarat ini bertujuan memastikan tanah digunakan secara optimum, seimbang antara tuntutan ekonomi, keperluan sosial, dan kelestarian alam sekitar.

Fokus utama mesyuarat hari ini adalah memperkukuh aspek pengawalseliaan tanah agar lebih inklusif, melindungi kepentingan rakyat, dan responsif terhadap keperluan serta realiti semasa. Langkah ini menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan penggunaan tanah tidak hanya memberi manfaat ekonomi tetapi juga mengekalkan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Selain itu, mesyuarat turut menekankan komitmen untuk mengekalkan 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan, selaras dengan aspirasi antarabangsa serta hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026–2030. Langkah ini menegaskan bahawa pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar boleh berjalan seiring demi generasi masa hadapan.

Bagi memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan rakyat, saya turut menyeru Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk terus memperkukuh kerjasama, terutamanya dalam mempercepatkan proses kelulusan bagi perkara berkaitan tanah untuk tujuan pembangunan, tanpa menjejaskan prosedur sedia ada dan tetap menghormati kuasa Kerajaan Negeri.

Kerajaan MADANI akan terus berusaha untuk mempromosikan agenda pembangunan seimbang antara keperluan manusia dan kelestarian alam sekitar, sejajar dengan prinsip kelestarian sebagai salah satu tonggak utama konsep MADANI.

Comments

Popular posts from this blog

Langkah Pentagon di Iran: Menuju Perang Dunia Ketiga?

Letupan Paip Gas: KPM Salur Bantuan RM1,000 kepada Murid dan Warga KPM Terjejas

Di Sebalik Naratif