Malaysia Teguh di Pentas G20

  Menangani Cabaran Global dengan Ketahanan dan Keadilan


 

Berdiri di pentas G20 di Johannesburg baru-baru ini mengingatkan kita bahawa dunia bergerak dengan sangat pantas, membawa serta cabaran dan harapan yang kompleks. Ketika semua negara hadir untuk membincangkan masa depan iklim, keselamatan makanan, dan peralihan tenaga, saya menekankan bahawa suara rantau kita, yang telah lama terdedah kepada risiko bencana dan tekanan akibat perubahan iklim, mesti diambil kira dan menjadi sebahagian daripada hala tuju global.

Pengalaman ASEAN menjadi panduan bahawa ketahanan bukan hanya dibina semasa krisis, tetapi mesti diperkuat melalui pelaburan awal dan pembiayaan, termasuk sistem amaran awal serta kerjasama rentas sempadan yang berasaskan prinsip kemanusiaan.

Dalam perbincangan yang sarat dengan tekanan ini, saya menegaskan fakta bahawa permintaan tenaga dunia masih belum selaras dengan kemampuan teknologi bersih dalam mencapai matlamat iklim. Kita mesti bersikap jujur, pragmatik, dan berani. Malaysia komited melabur secara berterusan dalam teknologi yang mengurangkan jejak karbon dan impaknya—dari CCUS hingga rangkaian tenaga serantau—kerana inilah laluan sebenar memastikan peralihan tenaga bukan sekadar slogan kosong, tetapi boleh dilalui oleh majoriti tanpa membebankan.

Selain itu, saya menegaskan bahawa pembangunan tidak akan bermakna jika rakyat diketepikan. Dunia memerlukan sistem kewangan iklim yang lebih adil, sokongan yang menyentuh nasib petani kecil, dan kerangka global yang tidak meminggirkan negara membangun yang ketinggalan. Malaysia bertekad mewujudkan kerjasama di peringkat global dan serantau supaya ketahanan, keadilan, dan kesejahteraan bukan hanya wacana di kalangan elit, tetapi menjadi realiti bagi jutaan individu yang meletakkan harapan mereka pada keputusan yang dibuat hari ini di Johannesburg, Afrika Selatan.

🇲🇾🇿🇦

Comments

Popular posts from this blog

Langkah Pentagon di Iran: Menuju Perang Dunia Ketiga?

Letupan Paip Gas: KPM Salur Bantuan RM1,000 kepada Murid dan Warga KPM Terjejas

Di Sebalik Naratif