Pengakap Johor 2025
Nilai Kemanusiaan Bertemu Era Digital
Saya berpeluang menghadiri Perhimpunan Agung Pengakap Johor ke-27 di Tanjung Leman, Mersing, Johor, bersama ahli pengakap dari pelbagai lapisan masyarakat. Kehadiran ribuan peserta membuktikan bahawa institusi pengakap bukan sahaja masih relevan, malah terus berkembang seiring dengan perubahan zaman.
Dalam sesi ‘Anwar X Scouts’, saya menekankan bahawa pengakap akan sentiasa kekal relevan sekiranya dipimpin dengan nilai-nilai murni yang tidak lapuk ditelan zaman—kemahiran, disiplin, dan perpaduan—serta digabungkan dengan nilai kemanusiaan sejagat. Nilai inilah yang menjadikan pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi sebuah sekolah kehidupan.
Namun, saya juga mengingatkan bahawa nilai kemanusiaan ini kini perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI). Generasi muda yang terdedah dengan cabaran global memerlukan keseimbangan antara teknologi dan kemanusiaan agar mereka mampu menjadi pemimpin bijaksana yang berjiwa besar untuk negara.
Dalam mengejar kreativiti, transformasi digital, dan perubahan dunia, kita tidak boleh mengabaikan nilai kemanusiaan sehingga mencetuskan kebencian, perpecahan kaum dan agama. Sebaliknya, nilai kemanusiaan perlu menjadi asas yang memandu teknologi dan perubahan zaman, supaya masyarakat terus hidup dalam keharmonian.
Perhimpunan Pengakap Johor 2025 ini adalah bukti bahawa warisan kepimpinan melalui pengakap masih utuh, malah semakin diperlukan untuk melahirkan generasi berwawasan yang mampu mengimbangi akal, emosi, dan teknologi.
.png)
Comments
Post a Comment