BUDI95
Subsidi Minyak Lebih Adil dan Sasar Tepat untuk Semua Rakyat Malaysia
Dalam ucapannya pada Perhimpunan Bulanan bersama kakitangan Jabatan Perdana Menteri (JPM), kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) mulai 30 September 2025. Inisiatif ini memberi manfaat langsung kepada setiap warganegara Malaysia dengan kuota bulanan sebanyak 300 liter petrol RON95 bersubsidi.
Seiring pelaksanaan BUDI95, harga RON95 juga akan dikurangkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter. Program ini memastikan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira tahap pendapatan, yang memiliki lesen memandu yang sah dan aktif, akan menikmati subsidi ini secara automatik.
Tujuan utama BUDI95 adalah untuk mengagihkan subsidi dengan lebih adil kepada rakyat yang layak, sambil mencegah sebarang bentuk kebocoran. Bagi memastikan pelaksanaan ini berjalan lancar, MyKad dan rekod daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan dijadikan asas pengesahan, supaya hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah sahaja menerima manfaat ini.
Kerajaan turut menasihati orang ramai untuk memeriksa cip MyKad dan lesen memandu lebih awal, bagi mengelakkan sebarang isu teknikal ketika mengisi minyak nanti. Insya-Allah, Kementerian Kewangan akan menyediakan penerangan dan taklimat secara berkala supaya rakyat benar-benar memahami pelaksanaan ini.
Yang paling penting, subsidi ini akan diagihkan secara bersasar, telus, dan tanpa kebocoran, demi manfaat semua rakyat Malaysia. Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban rakyat, tetapi juga menunjukkan pentadbiran kerajaan yang cekap dan bertanggungjawab.

Comments
Post a Comment