Malaysia Semakin Menonjol di Arena Geo-strategik Serantau dan Global

 


Hal ehwal geo-strategik serantau yang merangkumi keselamatan secara menyeluruh — termasuk aspek pertahanan, ekonomi, sosial, tenaga, kecerdasan buatan (AI), pusat data dan keselamatan siber — menjadi fokus utama dalam pertemuan saya bersama Sir John Miguel Warwick Chipman, Pengerusi Eksekutif International Institute of Strategic Studies Asia (IISS-Asia), dalam kunjungan hormat beliau ke pejabat saya semalam.

Dalam pertemuan ini, Sir John Chipman menyatakan rasa kagum beliau terhadap pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan kepentingan sejagat serta ketegasan yang ditunjukkan dalam isu-isu penting, khususnya berkaitan situasi di Timur Tengah. Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh suara keamanan, keadilan dan prinsip-prinsip sejagat di peringkat antarabangsa.

Saya turut berkongsi aspirasi dan hala tuju Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, dengan matlamat utama untuk memastikan rantau ASEAN kekal aman, stabil dan makmur. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, Malaysia beriltizam memperkukuh hubungan erat dengan pelbagai negara, menjadikan diplomasi sebagai asas penting dalam membina kerjasama yang kukuh demi menghadapi dinamika global yang sentiasa berubah.

Sebagai tanda kepercayaan terhadap peranan Malaysia, Sir John Chipman telah menyampaikan jemputan rasmi daripada IISS-Asia untuk saya menyampaikan ucapan khas di Shangri-La Dialogue 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei 2025 di Singapura — sebuah platform strategik penting yang menghimpunkan pemimpin dunia dalam bidang pertahanan dan keselamatan. Selain itu, Malaysia juga diberi penghormatan untuk menyertai IISS Manama Dialogue 2025 di Bahrain pada Oktober nanti, sekali gus memperkukuh lagi keterlibatan Malaysia dalam perbincangan strategik di peringkat global.

IISS-Asia mengiktiraf peranan aktif Malaysia dalam membentuk masa depan ASEAN dan rantau Asia Pasifik secara keseluruhannya. Hala tuju yang kita gerakkan sepanjang tahun ini memberi kesan besar, bukan sahaja kepada negara serantau tetapi juga mendapat perhatian komuniti antarabangsa.

Undangan-undangan ini adalah satu penghargaan besar buat Malaysia. Ia menterjemahkan pengiktirafan dunia terhadap komitmen, keupayaan dan prinsip Malaysia dalam memainkan peranan penting di arena antarabangsa. Ini adalah lambang kejayaan negara kita dalam membina reputasi sebagai negara yang berwibawa, disegani dan berwawasan di mata dunia.

Kita harus terus melangkah ke hadapan dengan tekad yang lebih kuat untuk memastikan Malaysia terus menjadi pemimpin dalam memperjuangkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau serta global.

Comments

Popular posts from this blog

Langkah Pentagon di Iran: Menuju Perang Dunia Ketiga?

Letupan Paip Gas: KPM Salur Bantuan RM1,000 kepada Murid dan Warga KPM Terjejas

Di Sebalik Naratif