Kembali ke UIAM
Memperkukuh Komitmen Malaysia MADANI dan Menyemai Harapan Baru
Pagi tadi, saya kembali menjejakkan kaki ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak — sebuah tempat penuh kenangan, di mana saya pernah diberi amanah untuk memimpin institusi berprestij ini. Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada siri jelajah Temu Anwar yang bertujuan mendekati rakyat serta berkongsi usaha berterusan Kerajaan MADANI dalam menangani pelbagai cabaran masa kini.
Dalam sesi dialog yang berlangsung, saya berpeluang berkongsi tentang ikhtiar Malaysia dalam mendepani isu-isu mutakhir dunia, termasuk krisis global yang memberi kesan kepada negara. Saya turut menjawab pelbagai soalan daripada mahasiswa, antaranya berkaitan pembangunan belia, peluang pekerjaan, serta usaha reformasi yang sedang dan telah dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.
Majlis pagi ini turut menyaksikan satu lagi perkembangan membanggakan, apabila sumbangan berjumlah USD300,000 disalurkan kepada Tabung Pelajar Antarabangsa AbuSulayman (AISF) UIAM. Insya-Allah, dana ini akan terus menjadi nadi sokongan kepada pelajar antarabangsa yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh pengajian mereka di UIAM.
Tidak kurang pentingnya, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Shenandoah University, Virginia, Amerika Syarikat, atas penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat dalam bidang Undang-Undang kepada saya. Ini bukan sahaja satu penghormatan peribadi, tetapi juga simbolik kepada hubungan erat antara kedua-dua institusi akademik.
Saya berharap kerjasama antara UIAM dan Shenandoah University akan terus diperkukuhkan. Melalui kerjasama ini, para pelajar bukan sahaja dapat memperkaya ilmu pengetahuan, tetapi juga menghayati nilai-nilai kemanusiaan sejagat — seterusnya membentuk sebuah dunia yang lebih bertoleransi, harmoni, dan aman.
.png)
Comments
Post a Comment